Oleh Zuridan Mohd. Daud
Malapetaka yang melanda dunia hari ini memberikan satu isyarat kepada kita bahawa usia dunia sudah semakin lanjut ibarat seorang tua yang pernah digambarkan di dalam peristiwa Israk dan Mikraj.
Jika ketika itu usia dunia diumpamakan dengan seorang wanita tua yang sudah bongkok, bagaimanakah pula wanita tua itu di waktu ini?
Fenomena ketidakstabilan alam yang berlaku saban hari waktu ini seolah-olah tidak dapat dibendung lagi. Gempa bumi, tanah runtuh, banjir besar, peperangan, pembunuhan, kemalangan maut dan kesuburan maksiat semakin menjadi-jadi.
Sebagai contoh banjir kilat yang melanda di tengah-tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur. Meskipun kecanggihan teknologi yang digunakan didakwa boleh membendung kejadian ini dari berlaku namun kuasa Allah tiada siapa dapat menghalangnya.
Sebagai seorang muslim yang beriman, kacau bilau yang berlaku tidak seharusnya dibiarkan berlalu tanpa sebarang iktibar dan renungan. Mengaitkan apa yang berlaku hanya dengan perubahan cuaca global dan faktor alam semulajadi hanya membutakan iman kita.
Jika diteliti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w pastinya terdapat panduan yang boleh memberikan penjelasan mengenai suasana yang berlaku hari ini.
Sabda Rasulullah s.a.w, “Hari kiamat tidak akan berlaku hinggalah harta benda menjadi melimpah ruah kemudian timbulnya bermacam fitnah dan banyaknya berlaku al-Harj. Sahabat bertanya baginda: Apakah al-Harj itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Pembunuhan! Pembunuhan! Pembunuhan! Sebanyak tiga kali”. (Riwayat Ibnu Majah)
Perkataan al-Harj jika dilihat di dalam konteks hadis ini ia merangkumi makna yang lebih luas iaitu peperangan, huru-hara dan kacau bilau yang berlaku. Sebabnya semua suasana ini boleh membawa kepada hilangnya rasa selamat dan keamanan hidup manusia. Dalam erti kata lain ia membunuh kesejahteraan hidup manusia.
Di dalam hadis yang lain Nabi s.a.w pernah bersabda, “Barang siapa yang mahu melihat gambaran hari kiamat seolah-olah ia melihat dengan matanya sendiri, maka bacalah (surah-surah): (Apabila matahari digulung) dan (Apabila langit terbelah) dan (Apabila langit berkecai/terbelah)”. (Riwayat Imam Ahmad dan al-Tarmizi).
Ketiga-tiga ayat yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w di atas ialah surah At-Takwir, Al-Infitar dan Al-Insyiqaq. Di dalam surah Al-Takwir Allah s.w.t menyatakan bahawa pada hari kiamat matahari yang gagah di langit akan digulung, bintang-bintang akan jatuh berguguran, gunung-ganang yang nampak gagah hancur berkecai. Allah juga menyatakan bahawa laut yang luas akan menjadi panas meluap-luap.
Di dalam surah Al-Infitar pula Allah menambah lagi penjelasan tentang fenomena kiamat dengan menyatakan akan terbelah dan terburainya langit kemudian bumi akan memuntahkan apa yang dikandungnya.
Begitu juga di dalam surah Al-Insyiqaq, Allah menjelaskan sekali lagi bahawa langit akan terbelah manakala bumi akan menjadi rata akibat kehancuran gunung-ganang dan bukit-bukau.
Menariknya di dalam ketiga-tiga surah ini dijelaskan bahawa ketika berlakunya suasana kacau bilau ini barulah manusia teringat akan apa yang telah dilakukan dan diabaikan. Di saat itu barulah timbul kesedaran dan keinsafan. Namun semuanya telah terlambat kerana pintu taubat sudah tertutup.
Setiap manusia akan berdepan dengan mahkamah Allah yang tiada langsung peluang untuk menipu dan berbohong. Setiap wajah akan tunduk memandang bumi, menunggu perbicaraan di Mahkamah Allah. Apakah selamat atau sebaliknya?
Membaca ketiga-tiga surah bukan sahaja boleh memberikan ilmu tentang fenomena kiamat malah boleh menimbulkan kegerunan dan ketakutan terhadap situasi dahsyat yang akan berlaku.
Cuba lihat matahari yang gagah di atas langit yang akan bergulung-gulung. Bayangkan pula langit yang kukuh akan terburai dan memuntahkan bintang-bintang hingga gugur ke bumi. Apakah ia tidak menggerunkan kita?
Perkara yang paling menakutkan apabila Allah bertanya: (Apakah yang memperdayakanmu hingga sanggup derhaka (waktu di dunia) kepada Tuhanmu Yang Maha Mulia). (Al-Infitar: 6).
Ayat ini seolah-olah satu tempelak terhadap manusia yang tidak mahu insaf meskipun peluang diberikan seluas-luasnya ketika hidup di dunia.
Gambaran ketakutan ini dinyatakan oleh Allah dengan menggunakan bahasa kiasan. Firman Allah, Dan apabila unta-unta bunting ditinggalkan. (At-Takwir: 4).
Unta adalah harta paling berharga di tanah Arab pada zaman baginda s.a.w. Unta merupakan kenderaan kelas pertama yang terdapat ketika itu. Apa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah, ketika berlakunya kiamat setiap manusia akan takut dan risau dengan nasib diri sendiri hingga lupa kepada harta benda dan kemewahan yang dimiliki.
Begitulah sebahagian dari gambaran panjang lebar yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. tentang fenomena hari kiamat di dalam ketiga-tiga surah di atas. Bagi seorang yang beriman pencarian tentang bila berlakunya hari kiamat adalah merupakan kerja sia-sia, malah ia boleh membawa kepada kesesatan akidah.
Justeru apabila Nabi s.a.w ditanya oleh Jibril a.s tentang bila berlakunya kiamat, Baginda menjawab: “Yang bertanya lebih tahu dari yang ditanya. Kerana baginda s.a.w hanya dimaklumkan tentang tanda-tandanya sahaja”. Tarikh berlakunya kiamat hanya menjadi rahsia Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
* Zuridan Mohd. Daud ialah Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan Universiti Malaysia Pahang.

{ 17 comments… read them below or add one }
beringat la kite…
kiamat dh hampir….tapi masih mengekangi dosa-dosa..astagfirullahhalazim…
kiamat sudah hampir….tapi masih lagi mengekangi dosa-dosa….astagfirullahhalazim….
ermmmmmmmmm……………………….. aku akui tanda kiamat mkin byk.. aku takut……….
yahooooo
da banyak tanda kiamat sekarang. Sama2 la kite beringat
peringatan n hidayah utk kita seme….
bnyknye dosa2 ku selama ini…………………
Sekadar berkongsi kisah hari kiamat:
Part 1: http:// tinyurl.com/m56xgq
Part 2: http:// tinyurl.com/kj5q9o
Part 3: http:// tinyurl.com/rx8dfg
Sebarkanlah Islam..
Kill-Vearn´s last blog ..Windows Se7en Shortcut
Bagus projek baru OH! Media ni, xder la macam web lain sume hburan duniawi…
Daus´s last blog ..Daus Radio-Widget Radio Terbaru
sedihnya aku,aku banyak dosa.masyaAllah,web ni bagus.kiamat daah hampir,
bagusnya web ini!Projek saya pun akan complete!yes…………..
masyaallah!!!!!subhanallah!!!!!banyak dosa saya telah buat.YA ALLAH tolonglah ampun dosa saya ini.
wah saya juga banyak dosa…
kita gk tw kiamat datangnya kapan!!!
TP mau tdk mau kita harus terima…
Kita sentiasa leka.. kita sentiasa alpa. dan kita sering melakukan larangan-larangan tuhan.. namun sama-samalah berdoa mudah-mudahan setidak-tidaknya kita masih sempat bertaubat dan diambil dalam keadaan kita sedang dan masih beriman.. semoga di hari kiamat jua kita dibangkitkan dalam kesejahteraan.. amin..
SESUNGGUHNYA ALLAH ITU MAHA PENGAMPUN, MAHA PENYAYANG LAGI MAHA MENGASIHANI..
aku pun banyak dosa nie..erm,aku pun takut gak klo dah kiamat nie..
ya allah tolong ampunkan lah dosa2 ku dan kami sekeluarga..Amin
insaf la mari lah kita menuju jln allah